Tiada rancangan kurang kelayakan 300 liter BUDI95, kata Perbendaharaan

Tiada rancangan kurang kelayakan 300 liter BUDI95, kata Perbendaharaan

Kementerian Kewangan menegaskan kelayakan petrol 300 liter sebulan bawah skim itu cukup untuk memenuhi keperluan 99.3% pemilik kenderaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata kelayakan petrol 300 liter cukup untuk 99.3% rakyat Malaysia dan memenuhi keperluan khusus golongan berpendapatan rendah hingga sederhana yang menempuh perjalanan harian lebih jauh.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan nafi dakwaan ia bercadang mengurangkan had kelayakan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, sambil menolak mesej tular di media sosial yang menyebarkan khabar angin itu sebagai ‘tidak benar’.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, berkata Putrajaya tidak berhasrat mengubah parameter program BUDI95, menegaskan masih ‘terlalu awal’ untuk menilai semula kelayakan bulanan atau harga subsidi itu.

Baru-baru ini, mesej dalam talian memetik Johan sebagai berkata kerajaan sedang meneliti semula kelayakan subsidi petrol bersasar yang baru diperkenalkan itu.

“Kerajaan tidak pernah menyatakan, dan saya juga tidak pernah menyebut kita akan mengurangkan had kelayakan daripada 300 liter kepada 200 liter,” katanya dalam temu bual eksklusif FMT.

Johan berkata, kelayakan 300 liter yang ditetapkan bertujuan memenuhi keperluan sebenar rakyat Malaysia selain mengelakkan penyalahgunaan.

“Dari segi statistik, ketika kerajaan menentukan had kelayakan, purata penggunaan dikenal pasti hanya sekitar 80 liter sebulan. Namun, jika had ditetapkan pada 80 liter, hanya separuh daripada penduduk akan berpuas hati kerana itu hanya purata.

“Pada 180 liter, kita sudah meliputi 99%. Pada 300 liter, dianggarkan 99.3%,” katanya.

Katanya, dalam beberapa minggu pertama pelaksanaan inisiatif BUDI95, kurang daripada 0.1% pemilik kenderaan berdaftar melebihi kelayakan bulanan 300 liter.

“Itu memberi keyakinan kepada kami pada paras tersebut, ia seharusnya cukup untuk hampir semua orang,” katanya.

Beliau menjelaskan, penetapan kelayakan itu juga membantu mencegah penyeludupan dan penyalahgunaan komersial, selain mengambil kira keperluan khusus golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mungkin tinggal jauh dari tempat kerja serta menempuh perjalanan harian lebih panjang.

“Kita mahu pastikan 300 liter itu cukup untuk mereka. Jadi, sudah tentu tiada rancangan mengurangkan (kelayakan) daripada 300 liter kepada 200 liter buat masa ini,” katanya.

Program BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 Sept lalu yang menyaksikan rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, mempunyai MyKad dan lesen memandu aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, dengan kelayakan bulanan sehingga 300 liter.

Pembelian bahan api tambahan melebihi kelayakan itu akan dikenakan harga pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.