KPDN siasat dakwaan ‘lambakan’ minyak masak, RON95 di Sg Golok

KPDN siasat dakwaan ‘lambakan’ minyak masak, RON95 di Sg Golok

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata pelbagai langkah diambil kementerian untuk mengekang kegiatan penyelewengan termasuk mempergiat Op Tiris.

sungai golok
Media sebelum ini melaporkan minyak masak bersubsidi dan petrol RON95 seludup boleh diperoleh dengan mudah tanpa had di selatan Thailand, termasuk di pekan Sungai Golok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyiasat dakwaan bekalan minyak masak bersubsidi dan petrol RON95 seludup boleh diperoleh dengan mudah tanpa had di selatan Thailand, termasuk di pekan Sungai Golok.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, berkata pihaknya juga telah mempergiat penguatkuasaan Op Tiris yang kini diperluas merangkumi petrol RON95, gas petroleum cecair, minyak masak, gula dan tepung gandum.

Katanya, mereka juga menempatkan pegawai penguat kuasa di lapan kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negeri sempadan seperti Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

“Kita melakukan pemantauan dan mempergiatkan penguat kuasaan di negeri berada di sempadan Malaysia-Thailand seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak untuk mengekang penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi.

“Sejak 1 Jan 2024 hingga 3 Okt lalu kita merekodkan 1,646 kes berkaitan petrol RON95 dengan nilai rampasan melebihi RM1.5 juta, serta 829 kes melibatkan minyak masak dengan nilai rampasan lebih RM3.6 juta di seluruh negara,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 25,457 pemeriksaan melibatkan 2,210 kes telah dijalankan di empat negeri terbabit dengan nilai rampasan barang kawalan berjumlah RM3,555,981.11.

“Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 12,775 pemeriksaan dengan nilai rampasan barang kawalan sebanyak RM1,212,950.54.

“Sebanyak 140 kes minyak masak telah direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM353,194.40 dan 1,144 kes melibatkan petrol RON95 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM403,354.23,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekalan minyak masak paket bersubsidi dan petrol RON95 di Selatan Thailand termasuk di pekan Sungai Golok tidak pernah terputus selain boleh diperoleh dengan jumlah yang banyak tanpa had.

Harga setiap paket minyak masak itu dikesan dijual antara RM5.30 hingga RM6.60 sekilogram berbanding RM2.50 di Malaysia manakala RON95 pula sekitar RM3.30 hingga RM3.60 seliter berbanding RM1.99 di bawah insiatif Budi Madani.

Dalam pada itu, Fuziah berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk polis, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Aksem), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengekang kegiatan itu.

“Kementerian memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1 juta, bagi kesalahan berikutnya sehingga RM3 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama, dan hingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan itu boleh membuat aduan kepada kementerian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.