
Mulai hari ini, kuota kelayakan RON95 bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) sejumlah 300 liter sebulan akan diperbaharui. Inisiatif ini baru bermula pada 27 Sept lalu dan kini masuk pusingan kedua penggunaan.
Ramai yang mula mendapat gambaran sebenar tentang berapa banyak petrol yang mereka sebenarnya guna dalam sebulan.
Saya sendiri masih mempunyai baki sekitar 80 liter ketika kuota Oktober berakhir. Perjalanan harian saya dari rumah di Puncak Alam ke Petaling Jaya untuk bekerja, kira-kira 40km sehala – bersamaan hampir 80km pergi dan balik.
Dengan lima hari bekerja seminggu, perjalanan saya mencecah sekitar 400km seminggu atau lebih kurang 1,600km sebulan.
Dengan penggunaan itu, kuota 300 liter ditawarkan bawah BUDI95 memang masih mencukupi. Malah ada lebihan. Ini menunjukkan untuk kebanyakan individu yang bekerja secara rutin bandar ke bandar, kuota itu munasabah dan tidak terlalu ketat seperti dibimbangi pada awalnya.
Namun, tidak semua orang mempunyai pengalaman sama. Selepas beberapa minggu diperkenalkan, muncul pula kisah pengguna mendakwa kelayakan mereka habis terlalu cepat.
Ada yang mendakwa 300 liter tidak cukup. Ada mengatakan mereka terpaksa mengisi semula RON95 pada kadar pasaran tanpa subsidi seawal pertengahan bulan.
Di tengah rungutan itu, muncul kenyataan penting daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican. Katanya, berdasarkan data dikumpul kerajaan, 95% rakyat Malaysia sebenarnya menggunakan kurang daripada 180 liter petrol sebulan.
Ini bermakna, hanya sebilangan kecil rakyat yang benar-benar memerlukan 300 liter. Dan apabila kerajaan meneliti lebih dekat kumpulan yang habis awal kuota itu, ada pola mencurigakan.
Johan dipetik Bernama pada 19 Okt, mendedahkan golongan menghabiskan subsidi 300 liter itu banyak terdiri mereka yang mengisi petrol di negeri bersempadan.
Dengan kata lain, lokasi pengisian memberi petunjuk berkemungkinan besar berlaku penyeludupan atau pembelian bagi pihak lain.
Lebih mengejutkan, katanya lebih 80 individu yang hanya memiliki lesen motosikal berjaya menghabiskan kuota 300 liter dalam tempoh dua minggu pertama Oktober.
Jika benar mereka hanya menunggang motosikal, ini bermakna mereka perlu menempuh hampir 500km setiap hari – sesuatu yang hampir mustahil secara logiknya.
Di sinilah persoalan mula timbul. Bukan soal kuota terlalu kecil, tetapi siapa menggunakan kuota itu dan untuk tujuan apa?. Dengan subsidi datang tanggungjawab dan ia bukan hanya terletak pada kerajaan, tetapi juga kepada pengguna.
Untuk rekod, isi rumah di Malaysia hanya menggunakan kira-kira 78% daripada keseluruhan penggunaan RON95 dalam negara. Selebihnya – kira-kira 4 bilion liter setahun – digunakan oleh syarikat, warga asing atau hilang begitu saja, dipercayai melalui penyeludupan.
Itu jumlah bukan kecil. Jika dianggarkan nilai subsidi RON95 sekitar RM20 bilion setahun, ketirisan 20% bermaksud kerugian RM4 bilion. Jumlah ini boleh digunakan untuk membina sekolah, hospital, mempertingkat pengangkutan awam, atau menampung kos kesihatan rakyat.
Mungkin boleh disalurkan kepada dana Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA), antara dua inisiatif utama bantuan sosial kerajaan dalam membantu golongan memerlukan.
Dengan BUDI95, kerajaan menjangkakan penjimatan kira-kira RM2.5 bilion setahun berdasarkan harga minyak semasa. Ini bukan semata-mata angka di kertas bajet – ini ruang fiskal untuk masa depan negara.
Namun, kejayaan BUDI95 bergantung kepada satu perkara: penguatkuasaan dan data. Tanpa pemantauan teliti, sistem baik pun akan bocor.
Tanpa tindakan, ketirisan akan terus berulang dan subsidi yang sepatutnya membantu rakyat, akhirnya menyara pihak tidak berhak.
Subsidi bukan barang mainan. Ia bukan hadiah boleh diambil oleh sesiapa sahaja yang terlintas di stesen minyak. Ia datang daripada hasil negara – daripada cukai, daripada pendapatan kerajaan, daripada kerja keras rakyat Malaysia sendiri.
BUDI95 perlu digunakan bukan sahaja untuk menawarkan harga petrol RM1.99 seliter, tetapi sebagai mekanisme analisis tingkah laku penggunaan.
Data penggunaan petrol boleh menjadi alat penting untuk mengesan penyeludupan, aktiviti mencurigakan dan pola ketirisan di sempadan sekali gus membantu kerajaan merangka dasar berkaitan pada masa depan.
Data ini boleh membantu menutup lubang ketirisan yang telah lama menguntungkan pihak tertentu termasuk sindiket di sempadan yang hidup atas subsidi rakyat.
Akhirnya, tujuan BUDI95 cukup jelas: supaya subsidi sampai kepada rakyat Malaysia, bukan kepada orang lain. Ini bukan soal politik atau slogan, tetapi keadilan penggunaan dana negara.
Jangan sampai RON95 kita ‘berbudi’ kepada bukan warganegara atau ditanah asing.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.