
Saman itu berikutan keengganan pihak berkuasa membenarkan mereka melihat dokumen-dokumen itu sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, peguam penduduk terbabit, Lim Wei Jiet, berkata anak guamnya – T Chakaravarthi, Kum Koo Ji, S Saktiseelan, dan Loke Yin Pong – memfailkan tindakan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Jun.
Mereka juga menamakan ketua pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor sebagai responden.
Pada 24 Mei, penduduk meminta salinan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), impak sosial (SIA) dan impak lalulintas (TIA) yang dikemukakan PJD Link kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dalam dua bulan sebelumnya.
Mereka juga meminta pendedahan minit perbincangan kumpulan fokus yang diadakan, reka bentuk terperinci projek, serta perjanjian konsesi antara PJD Link dan kerajaan.
Kerajaan Selangor secara prinsip meluluskan projek PJD Link pada September 2020, tertakluk kepada penerimaan laporan EIA, SIA, dan TIA.
Lim berkata anak guamnya sedang mendapatkan perintah supaya pihak berkuasa mendedahkan dokumen yang diminta dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah yang dibuat dalam saman mereka, serta pengisytiharan bahawa perjanjian konsesi yang diberikan kepada PJD Link bukan “rahsia rasmi”.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa sebahagian daripada Akta Rahsia Rasmi bertentangan dengan Perlembagaan kerana ia melanggar hak penduduk mendapatkan maklumat bawah Perkara 10(1)(a).
Mereka juga mendakwa sebahagian daripada akta tersebut tidak jelas dan memberikan budi bicara yang tidak terhad kepada pihak berkuasa untuk mengkelaskan mana-mana dokumen sebagai “rahsia rasmi”.
Mahkamah menetapkan 4 Julai untuk mendengar permohonan mendapatkan kebenaran itu.