
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, sebelum ini, cadangan pelaksanaan projek KL NODE telah dipertimbangkan kerajaan dan diberikan kelulusan prinsip pada 17 Sept 2021, dengan tempoh sah laku selama tiga tahun.
“Tempoh kelulusan prinsip selama tiga tahun bagi pelaksanaan projek KL NODE ini tamat pada 16 Sept 2024 dan kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya tempoh sah laku kelulusan prinsip itu dilanjutkan dengan tempoh 12 bulan hingga 16 Sept 2025,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang bertanyakan status semasa pembinaan KL NODE dari persimpangan bertingkat Templer Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar) sehingga persimpangan Jalan Kuching Lebuhraya Duta-Ulu Kelang.
Leong juga ingin tahu garis masa yang boleh diberikan kementerian sebelum projek itu dapat disiapkan sepenuhnya.
Berhubung garis masa bagi projek itu disiapkan sepenuhnya, Nanta berkata, sekiranya pihak syarikat berjaya memuktamadkan proses rundingan berkaitan perjanjian konsesi dalam tempoh yang dipersetujui kerajaan dan perjanjian konsesi ditandatangani, syarikat seterusnya perlu memenuhi semua syarat duluan yang ditetapkan dalam tempoh 12 bulan.
“Sekiranya syarikat berjaya mematuhi semua syarat duluan berkenaan, perjanjian konsesi akan berkuat kuasa bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan selanjutnya dilaksanakan di tapak.
“Pelaksanaan kerja pembinaan projek KL NODE ini dijadual untuk disiapkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, laluan pembinaan projek itu perlu melalui beberapa kawasan sensitif seperti kawasan perumahan dan laluan jalan raya sedia ada, memberikan cabaran dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan.
“Selain itu, jajaran KL NODE juga akan merentasi kawasan dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar yang memerlukan tindakan kawalan serta mitigasi sewajarnya,” tambahnya.
Sehubungan itu, Nanta berkata, syarikat konsesi perlu memastikan semua impak terhadap alam sekitar, sosial, keselamatan dan sebagainya pada peringkat perancangan, pembinaan dan operasi harus dikenal pasti dan dirujuk kepada agensi bertanggungjawab.
Beliau berkata, syarikat juga perlu mematuhi semua syarat kelulusan yang ditetapkan agensi yang berkenaan bagi laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) yang dikemukakan, termasuk pelaksanaan tindakan mitigasi yang telah dipersetujui.
“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selaku agensi pengawalseliaan akan memastikan pihak syarikat mengambil tindakan sewajarnya melalui pemantauan di tapak dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan projek ini mematuhi jadual yang ditetapkan,” katanya.
Cadangan pelaksanaan projek KL NODE melibatkan jajaran lebuh raya yang akan dibina secara bertingkat sepanjang 40.46km, dibahagikan kepada dua seksyen laluan, iaitu Seksyen 1 melibatkan laluan tiga lorong dua hala menghubungkan persimpangan Templer Lebuhraya Latar dan Segambut sepanjang 18.54km.
Seksyen 2 pula kombinasi laluan tiga lorong dua hala dan laluan dua lorong dua hala menghubungkan Selayang dan persimpangan Ukay Perdana Lebuhraya Kuala Lumpur Timur (EKVE) Segambut sepanjang 21.92km.