
Kita baharu sahaja meraikan Hari Kebangsaan 2025. Luar biasa meriahnya. Itulah sepatutnya. Semangat patriotisme pada tahap paling tinggi. Tua, muda, besar, kecil, swasta dan awam, sanggup meredah dingin pagi untuk bersama memaknai erti kemerdekaan, kemakmuran dan perpaduan.
Itulah cernaan patriotisme yang utuh. Semangat kenegaraan mengatasi apa jua pakaian dan acuan. Kaum, agama, budaya, kelompok apatah lagi kepentingan sendiri. Bagi yang memahami, mereka sanggup bergolok bergadai malah ada yang sanggup mengorbankan nyawa demi kedaulatan negara.
Kestabilan politik dan keamanan negara tidak harus dikorbankan pada bila-bila masa. Kemaslahatan majoriti harus diberi keutamaan tanpa menafikan hak minoriti. Janganlah kepentingan minoriti apatah lagi kepentingan diri sampai menggugat kepentingan majoriti waima menjadi penghalang kepada pembangunan, kemajuan dan kesatuan negara.
Teman-teman di Kerja Raya yang banyak menjalankan projek pembinaan infrastruktur sering berkongsi bagaimana ketamakan minoriti banyak menggugat kelancaran perjalanan projek infrastruktur rakyat. Natijahnya, perjalanan pembinaan projek infrastruktur tersebut terbantut. Ada yang jadi projek sakit dan tidak sedikit yang terbengkalai. Ini mengakibatkan rakyat tidak menikmati manfaat dari projek tersebut. Belum lagi dihitung berapa kerugian di peringkat kerajaan mahupun syarikat yang melaksanakan projek infra tersebut.
Kesesakan lebuh raya berlaku pada setiap cuti panjang dan perayaan utama Malaysia. Malah kini kesesakan berlaku hampir setiap hujung minggu lebih-lebih lagi cuti hujung minggu yang panjang. Kata orang, ‘kesesakan tanda kemakmuran’.
Pada 2024, terdapat sekurang-kurangnya 38.7 juta kenderaan berdaftar. Lima juta lebih banyak daripada jumlah penduduk. Angka ini ialah gabungan kereta dan motosikal milik persendirian. Pertumbuhan dalam kenderaan didorong oleh jualan yang kukuh, dengan rekod 816,747 kenderaan dijual pada 2024.
Untuk mengatasi kesesakan, beberapa pendekatan diambil. Di samping melebarkan jajaran dari dua lorong kepada tiga lorong atau lebih, pembinaan lebuh raya atau laluan alternatif salah satu penyelesaiannya.
Salah satu projek tersebut ialah pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat atau WCE yang menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan. Apabila siap sepenuhnya, WCE akan merangkumi jarak sepanjang 314.5km, menghubungkan Changkat Jering di Perak dengan Banting di Selangor.
Isu tanah yang belum selesai
Pembinaan WCE dibahagikan kepada 11 seksyen di mana lapan siap dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2025 lepas. Keseluruhan WCE dijangka siap menjelang 2027. Baki tiga seksyen dalam pembinaan tetapi satu seksyen kini mengalami masalah yang runcing.
Menjelang Ogos 2025, Seksyen 3 telah 93% siap. Isu pemilikan tanah yang belum diselesaikan adalah penyebab utama pembinaannya terbantut sejak 20 bulan yang lalu. Kawasan yang terjejas ialah Kampung Jawa dan Taman Sentosa, Klang.
Dari lapan lot tanah, pemilik tujuh lot telah menerima pampasan yang ditawarkan syarikat konsesi WCE. Hanya satu lot sepanjang 300m inilah yang tertangguh. Daripada 33 keluarga, 14 keluarga bersetuju menerima pampasan dan berpindah.
Hanya 19 keluarga yang masih berkeras tidak mahu pindah. Mereka dilaporkan menuntut pampasan yang lebih tinggi dengan menjadikannya kes mahkamah. Khabarnya, 19 keluarga ini telah menerima RM5 juta, 75% dari pampasan penuh tetapi disalurkan kepada penguam mereka.
Pihak WCE telah melaksanakan segala keperluan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960. Hak pemilikan tanah telah secara sah berpindah kepada kerajaan di bawah Seksyen 16 setelah 75% pampasan dibayar, menamatkan hak pemilikan pemilik tanah.
Isu ini adalah ‘bom jangka’. Jika kerajaan dan syarikat WCE berlembut mengikuti kehendak minoriti untuk mendapat pampasan yang lebih, maka netizen akan bertempik. Oleh kerana ini isu tanah, kerajaan negeri harus tegas menyelesaikan masalah ini untuk tidak ditunggang. Pengalaman harus mengajar kita dan sejarah buruk seharusnya tidak berulang.
Kerajaan negeri, pejabat tanah, Adun terutama YB kawasan tersebut, Lembaga Lebuhraya Malaysia, syarikat konsesi WCE dan semua pihak berkepentingan harus berperanan secara sinergi. Kepentingan majoriti dan rakyat serta pembangunan negara mesti diutamakan melebihi kepentingan kelompok. Naratif negatif harus dihindarkan dan Kerajaan tidak harus dipersalahkan.
Tiada persoalan hak minoriti dinafikan. Pampasan yang diberi mengikut kadar pasaran semasa justeru majoriti dari mereka, penghuni tujuh lot dari lapan lot serta 14 keluarga dari lot berkenaan bersetuju menerima pampasan yang ditawarkan dan berpindah ke tempat lain. Inilah semangat patriotisme tinggi yang dialu-alukan.
Projek ini harus disiapkan segera. Sambungan Seksyen 3 ke Seksyen 2 dan 4 amat harus dipercepatkan pelaksanaannya bagi menjadi pemangkin kepada perjalanan yang lancar ke utara. Jalan ini juga akan dapat menggalakkan kontena barang menggunakannya ke pelabuhan-pelabuhan utama dan tentunya mengurangkan kesesakan di Lebuhraya PLUS.
Hari Malaysia yang akan diraikan tidak lama lagi seharusnya meningkatkan lagi patriotisme semua rakyat untuk mengangkat kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan diri. Selamat Hari Malaysia 2025.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.