Utama kepentingan nasional, Bumiputera, Anwar beritahu PNB

Utama kepentingan nasional, Bumiputera, Anwar beritahu PNB

Sebelum ini, PNB mengesahkan sedang runding dengan beberapa pihak berhubung aset lebuh rayanya di bawah Prolintas.

pnb
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta PNB meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan.
PETALING JAYA:
Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu meletakkan kepentingan nasional dan agenda Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pelaburannya, tegas Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, sebagai institusi pelaburan utama negara, PNB bertanggungjawab memastikan kepentingan jangka panjang rakyat, khasnya pemegang unit amanah dan golongan Bumiputera, tidak terjejas.

Beliau yang juga menteri kewangan mengulas laporan PNB sedang berunding dengan beberapa pihak berhubung aset lebuh rayanya di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

Anwar berkata, proses semakan itu tidak wajar diteruskan jika ia menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

“Selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara.

“Justeru, saya meminta PNB untuk meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, PNB mengesahkan rundingan berkenaan sambil menambah kajian strategik terhadap pelaburan dalam Prolintas sedang dilaksanakan sebagai sebahagian penilaian portfolio berkala.

Sehari sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM Corp Bhd, Lee Chun Fai, mengesahkan syarikat itu mengemukakan cadangan mengambil alih aset lebuh raya milik PNB selepas dipelawa menyertai proses permintaan cadangan (RFP).

Terdahulu, PNB dilaporkan sedang menilai penjualan portfolio lebuh raya tol di bawah Prolintas, iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta 51% pegangan dalam Prolintas Infra Business Trust.

Julai lalu, IJM Corp dan AFA Prime Bhd dilaporkan antara pihak berminat dengan aset lebuh raya tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.