Jurutera dituduh terima rasuah RM100,000

Jurutera dituduh terima rasuah RM100,000

Tertuduh berdepan 14 tuduhan rasuah sebagai upah syor perakuan tuntutan bayaran interim projek lebuh raya.

Mohd Azly Abdul Aziz dibenar ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu dengan sebutan semula kes pada 17 Julai ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang jurutera awam kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 berkait tuntutan bayaran projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Gua Musang, Kelantan.

Mohd Azly Abdul Aziz, 44, sebagai jurutera awam kanan Unit Projek Khas Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa menerima suapan antara RM5,000 hingga RM10,000, dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada seorang kontraktor berusia 70 tahun secara pemindahan dalam talian melalui akaun bank.

Ia sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek LTU Pakej 3 Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Jalan Maju antara 22 Dis 2022 hingga 31 Okt 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.

Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah mencadangkan jaminan RM20,000 untuk semua pertuduhan bagaimanapun Azeezi merayu jumlah jaminan rendah, iaitu RM8,000 mengambil kira anak guamnya perlu menanggung isteri serta empat anak.

Azeezi berkata tertuduh kini bekerja sebagai penjual sabun dan pemandu e-panggilan.

Hakim Dazuki Ali membenarkan Azly diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.