Eksekutif akaun berdepan 6 dakwaan pecah amanah lebih RM600,000

Eksekutif akaun berdepan 6 dakwaan pecah amanah lebih RM600,000

Tan Siau Ling, 43, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di dua Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini.

Tan Siau Ling dibenarkan ikat jamin RM35,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 18 Julai. (Gambar Pexelpic)
MELAKA:
Seorang eksekutif akaun wanita sebuah syarikat didakwa di dua Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM680,108.13.

Tan Siau Ling, 43, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan tiga lagi di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi tiga pertuduhan, dia dituduh memindahkan wang berjumlah RM293,249.28 ke dalam akaun peribadinya di sebuah premis di Jalan PM 5, Plaza Mahkota Melaka, di sini, antara 4 Julai 2019 hingga 23 Okt 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai wang.

Darmafikri menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan.

Bagi tiga pertuduhan lagi, Tan didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah RM396,858.85 dengan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun peribadinya serta sebuah syarikat lain.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama manakala tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan serupa.

Hakim Mohd Sabri menetapkan jaminan RM35,000 dan membenarkan syarat tambahan. Sebutan kes ditetapkan pada 18 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.