Ugut sebar gambar bogel, wanita 6 anak didenda RM10,000

Ugut sebar gambar bogel, wanita 6 anak didenda RM10,000

Tindakan tertuduh terbongkar selepas mangsa tidak tahan berterusan diperas ugut.

mahkamah majistret georgetown
Mahkamah Majistret George Town memerintahkan Nur Husna Noor Baharuddin dipenjara 10 bulan jika gagal bayar denda. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Suri rumah mengaku salah di Mahkamah Majistret George Town kerana melakukan pemerasan sebagai balasan tidak menyebarkan gambar bogel seorang lelaki, Jun lalu.

Tertuduh, Nur Husna Noor Baharuddin, 33, mengaku salah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dengan mahkamah memerintahkan penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Menurut Harian Metro, Nur Husna didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun dengan mendatangkan ketakutan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,750.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 3.30 pagi di sebuah rumah di Lintang Kampung Rawa 1, George Town, 14 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, pengadu berkenalan dengan tertuduh melalui Facebook pada 12 Jun lalu, 1.47 pagi sebelum wanita itu menawarkan untuk menghantar gambar dan video bogelnya.

Mangsa kemudiannya menerima kandungan lucah itu menerusi WhatsApp, namun dua hari selepas itu tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar bogel mangsa di media sosial sekiranya tidak diberikan wang tersebut.

Mangsa yang ketakutan melakukan 10 transaksi pemindahan wang ke akaun tertuduh, tetapi wanita itu masih terus menuntut bayaran tambahan menyebabkan dia akhirnya membuat laporan polis.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan terhadap mangsa.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani, memohon hukuman denda minimum dan memaklumkan anak guamnya mempunyai enam anak termasuk bayi berusia enam bulan dan seorang anak autisme berusia dua tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.