Fokus pasaran global, usahawan Bumiputera wanita diberitahu

Fokus pasaran global, usahawan Bumiputera wanita diberitahu

Mara akan perkenal program 'Gate to Global' yang memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk di luar negara.

zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyampaikan bantuan pada program Pemerkasaan Wanita Mara dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyeru usahawan Bumiputera khususnya wanita berani meneroka pasaran antarabangsa melalui produk berjenama Malaysia bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negara pada peringkat global.

Beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperkenalkan program ‘Gate to Global’ yang memberikan peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka di luar negara menggunakan jenama tunggal diiktiraf bawah agensi itu.

“Saya telah meminta pengerusi Mara untuk mempromosikan produk-produk ini dengan satu jenama. Biar produk ini dikeluarkan secara OEM dengan satu jenama supaya pasaran dunia melihat produk itu dari Malaysia.

“Pengeluarnya siapa? Ini puan-puan yang datang dari Sabah. Barulah Sabah mantap,” katanya ketika berucap pada program Pemerkasaan Wanita Mara dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Noraini Ahmad dan Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata kerajaan memperuntukkan RM52 bilion tahun depan bagi memperkasakan sektor keusahawanan dengan penyertaan 17 kementerian, termasuk Mara yang akan menerima RM4 bilion dalam Belanjawan 2026.

Beliau berkata, tumpuan besar turut diberikan kepada usahawan wanita kerana golongan itu terbukti mempunyai disiplin tinggi dalam menguruskan perniagaan, termasuk dari segi pembayaran balik pinjaman.

“Disebutkan tadi bahawa dari segi pembayaran hutang, wanita ini lebih dipercayai daripada lelaki…itu sebab Amanah Ikhtiar Malaysia merekodkan non-performing loan (wanita) terlalu kecil, 0.25% sahaja,” katanya.

Zahid turut menegaskan, kejayaan sektor Bumiputera tidak boleh lagi bergantung pada geran semata-mata, sebaliknya melalui pinjaman dan bimbingan berterusan agar perniagaan dapat berkembang dengan lebih mampan.

Menurutnya, kerajaan juga menyasarkan sekurang-kurangnya 5% daripada usahawan mikro dinaik taraf kepada kategori kecil setiap tahun, manakala 5% daripada usahawan kecil pula perlu melonjak ke tahap sederhana dan seterusnya tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau turut menggalakkan usahawan Bumiputera menumpukan sektor bernilai tinggi termasuk produk halal global yang dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.