SPRM sahkan siasatan terhadap menantu Muhyiddin selesai

SPRM sahkan siasatan terhadap menantu Muhyiddin selesai

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata semua keterangan saksi sudah diambil.

Adlan Berhan
Kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain diteruskan bagi memastikan pengesanan dan tindakan lanjut terhadap menantu Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan dapat selesai segera, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap ahli perniagaan dikehendaki, Adlan Berhan, 49, yang juga menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, sudah selesai.

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata ia menjadi sebab pihaknya sedang giat mengesan individu berkenaan.

“Siasatan sudah selesai. Semua keterangan saksi sudah diambil.

“Tinggal Adlan dan peguamnya saja untuk kembali bagi menghadapi pertuduhan,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan proses pengesanan dan tindakan lanjut terhadap Adlan dapat diselesaikan segera.

SPRM sebelum ini memaklumkan Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Dia meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas Muhyiddin didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

Turut melarikan diri ialah peguamnya, Mansoor Saat, 70, yang menuju ke Jakarta.

Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement & Registration (Biometrics) System (NERS) yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk diselewengkan.

Adlan dan Mansoor dikenal pasti sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.