
Baginda bertitah sejak PIN dilancarkan 21 tahun lalu semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, rasuah, pecah amanah, ketirisan sumber awam, kronisme dan salah guna kuasa masih berlaku hampir setiap hari.
Menurut Sultan Nazrin, media mendedahkan wujudnya pelbagai kartel merajai industri ayam, ikan, beras dan pelbagai bekalan serta perkhidmatan, lambakan pekerja asing dan pekerja tanpa izin.
Tegasnya, media turut melaporkan penerokaan tanah secara haram berskala besar, kilang haram tersergam, pusat judi, pusat hiburan, spa, rumah urut dan sarang pelacuran tanpa lesen an pencemaran alam mengancam kehidupan yang berlaku secara terbuka.
“Akhbar mendedahan kisah projek awam terbengkalai, kontraktor gagal menyiapkan kerja mengikut jadual, bangunan runtuh, peralatan tidak berfungsi, perolehan dengan lebih mahal daripada harga pasaran dan pelbagai kerenah lagi.
“Negara diaibkan di peta dunia kerana skandal kewangan terbesar dalam sejarah, mengakibatkan negara dibebani hutang, sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi dan nilai mata wang.
“Dilaporkan dalam tempoh dua tahun terakhir, kerajaan memperoleh kembali RM 15.5 bilion dana awam daripada pelaku-pelaku rasuah dan pengubahan wang haram,” titahnya ketika merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Ipoh, Perak.
Sultan Nazrin turut membangkitkan kelemahan serius dalam pengurusan dana awam yang terus dilaporkan melalui Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.
Menurut baginda, setahun sebelum PIN dilancarkan, Malaysia berada di kedudukan ke-37 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Namun pada 2024, dua dekad kemudian, Malaysia merosot ke tangga ke-57, dengan kedudukan paling rendah — tempat ke-61 — direkodkan pada 2018 dan 2022.
PIN diperkenalkan untuk mengurangkan rasuah dan salah guna kuasa; meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam; memperkukuh tadbir urus korporat dan etika perniagaan; memperkasakan institusi kekeluargaan; serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
“Demikian impian murni dan harapan luhur seorang negarawan (Abdullah). 21 tahun selepas PIN dilancarkan, ternyata ada jurang malah lebih lebar antara impian dan harapan dengan realiti serta hakikat sedang berlaku
Sultan Nazrin turut menekankan pentingnya mengambil iktibar sejarah dalam memahami bahaya penghakisan integriti.
Baginda memberi contohi kejatuhan Kesultanan Melaka kepada Portugis pada 1511, yang menurut catatan sejarah bukan hanya disebabkan serangan luar, tetapi juga akibat pengkhianatan serta perebutan kuasa dalam kepimpinan sendiri.
“Maka, setiap insan memegang amanah sama ada di sektor awam, swasta, politik, institusi agama, badan-badan sukarela, kebajikan dan sukan hendaklah menjadikan sejarah sebagai guru.
“Ahli falsafah George Santayana menyatakan, “mereka yang tidak belajar dari sejarah akan dikutuk kerana mengulanginya”. Dibimbangi sikap tidak belajar dari sejarah sedang berlaku di hadapan mata kita,” titahnya.