
Peguam Larissa Ann Louis yang mewakili isteri Amri, Norhayati Ariffin, berkata mereka akan memanggil kira-kira 13 saksi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.
Kerajaan dijangka memanggil kira-kira lapan saksi.
Norhayati memfailkan saman terhadap kerajaan dan 20 pihak lain berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis semasa siasatan mereka ke atas kehilangan suaminya pada 2016.
Senarai itu termasuk bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta bekas penolong pengarah Cawangan Khas, Awaludin Jadid.
Amri yang mengasaskan NGO bernama Perlis Hope, hilang sejak 24 Nov 2016.
Dakwaan Norhayati terhadap defendan termasuk pelanggaran undang-undang, kewajipan berkanun, salah laku dalam jawatan awam dan kecuaian kewajipan jagaan serta pelanggaran penjagaan standard.
Wanita itu pernah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan laporan sulit berhubung kehilangan Amri dan berjaya dalam usahanya memaksa kerajaan mengeluarkan laporan itu.
Tetapi, kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah dan mendapat perintah penangguhan bagi menghalang pendedahan laporan itu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengadakan inkuiri awam ke atas kehilangan Amri antara 2017 dan 2019.
Ia menyimpulkan Amri menjadi mangsa kehilangan paksa yang dilakukan kerajaan, khasnya Cawangan Khas.