
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mendakwa kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan.
“Ianya tak patuh syariah,” tegasnya selepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membentangkan Kertas Putih Kesihatan.
“Adakah kita ingin berterusan mahu mengikut acuan Barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ianya tidak boleh diubah?” katanya kepada Dewan Rakyat.
Wan Razali menyeru kerajaan mencontohi langkah Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang yang memberikan pilihan kepada kakitangan wanita untuk mengenakan “pakaian bersesuaian”.
“Tahniah kedua hospital tersebut yang memberikan pilihan pakaian lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata beliau menyokong pembentangan Kertas Putih Kesihatan bagi memperincikan cabaran yang dihadapi sektor kesihatan, serta dasar, strategi, dan hala tuju sistem yang akan dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun akan datang.