
Menurut Shad, Perlembagaan Persekutuan memberi Parlimen beberapa keistimewaan.
“Salah satu keistimewaan yang diketahui ramai adalah Parlimen boleh menghukum sesiapa sahaja kerana menghina Dewan. Terdapat duluan seperti ini di Australia.
“Kontrak antara pembekal vaksin Covid-19 dan kerajaan semasa adalah antara kedua-dua pihak itu. (Bagaimanapun) penegasan bahawa NDA menghendaki perjanjian itu dirahsiakan daripada Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak mempunyai asas perlembagaan dan merupakan penyalahgunaan Akta Rahsia Rasmi.
“NDA tidak boleh menghalang PAC, polis, ketua audit negara dan Ahli Parlimen daripada menuntut maklumat itu, termasuk NDA, kerana mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang.
“Malah, Akta Rahsia Rasmi tidak terpakai di Parlimen kerana Ahli Parlimen yang menggunakan kebebasan bersuara semasa prosiding kebal sepenuhnya daripada semua undang-undang, kecuali Akta Hasutan,” kata Shad.
Tambahnya, Ahli Parlimen boleh didakwa bawah Akta Hasutan selepas pindaannya pada 1971, sebagai respons kepada rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Shad berkata, bawah Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen, jawatankuasa Parlimen boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati menghina Dewan, atau melanggar mana-mana peraturannya, melalui denda atau penjara.
Pada Isnin, sewaktu Kertas Putih Kesihatan dibahaskan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad berkata, perlembagaan memberi PAC kuasa untuk menuntut dokumen bawah NDA didedahkan.