Muhyiddin desak kerajaan tangguh cadangan naik caj khidmat kesihatan

Muhyiddin desak kerajaan tangguh cadangan naik caj khidmat kesihatan

Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin berkata ia perlu mengambil kira keadaan rakyat yang terbeban.

Warga tempatan kini hanya membayar RM1 bagi rawatan pesakit luar manakala RM5 untuk pesakit luar pakar di hospital atau klinik kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa menaikkan kadar bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

Beliau mendesak supaya sebarang rancangan untuk menaikkannya ditangguhkan dan diteliti semula, mengambil kira keadaan rakyat terbeban, yang bukan hanya melibatkan golongan B40 sahaja.

“Melalui kajian dibuat, ramai yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak.

“Jadi jika ada cadangan daripada kerajaan untuk menaikkan kadar bayaran rawatan kesihatan awam, saya minta supaya ia ditangguhkan dahulu dan diteliti semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi kertas putih kesihatan dibentangkan di Dewan Rakyat, kerajaan mencadangkan caj rawatan perkhidmatan kesihatan awam untuk “golongan kaya” dinaikkan.

Langkah itu bertujuan menjadikan isi rumah berpendapatan tinggi membayar perkhidmatan itu mengikut kemampuan kewangan mereka.

Mengikut laman sesawang Kementerian Kesihatan, warganegara Malaysia yang mendapat rawatan di hospital dan klinik kerajaan hanya perlu membayar RM1 bagi perkhidmatan pesakit luar manakala RM5 untuk pesakit luar pakar.

Bagi rawatan pesakit di wad pula, mereka hanya perlu membayar di antara RM5 hingga RM10 sehari manakala caj untuk perkhidmatan bersalin di antara RM10 hingga RM300.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.