
Katanya, perkara itu termasuk dalam tonggak ketiga Kertas Putih Kesihatan, iaitu cadangan pembaharuan sistem kesihatan dalam aspek perbelanjaan.
Ketika ini, beliau berkata, perbelanjaan kerajaan dalam sektor kesihatan adalah 2.93% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Kerajaan juga akan mengkaji menggabungkan dana-dana kesihatan bagi meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat, termasuk meningkatkan pelaburan 2.93% daripada KDNK sekarang kepada 5%,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua terbesar sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Baru-baru ini, Penasihat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar dilaporkan berkata, strategi Kertas Putih Kesihatan tidak akan mengubah sektor kesihatan, jika kerajaan gagal menambah bajet untuk KKM, selain matlamat mereformasi sektor kesihatan awam negara juga tidak akan dicapai.
Kertas Putih Kesihatan yang dimuat naik dalam laman sesawang KKM menggariskan empat tonggak dan 15 strategi, antaranya kajian semula komprehensif pengambilan perjawatan petugas kesihatan, termasuk berstatus kontrak serta membangunkan pakej manfaat kesihatan rakyat.
Strategi bawah tonggak ketiga Kertas Putih Kesihatan itu bertujuan memastikan pembiayaan kesihatan saksama merangkumi reformasi pembiayaan kesihatan supaya lebih mampan, mempunyai perlindungan risiko kewangan lebih baik dan mengurangkan perbelanjaan wang sendiri.
Dua lagi strategi ialah meningkatkan pelaburan kesihatan di bawah pengurusan sektor awam secara berperingkat dengan mengambil kira kedudukan dan kemampuan fiskal kewangan kerajaan, kerjasama strategik pelbagai sektor dan penggunaan sumber serta aset merentasi pelbagai pihak berkepentingan.