Tak perlu perbesar isu, etika pakaian jururawat jelas, kata menteri

Tak perlu perbesar isu, etika pakaian jururawat jelas, kata menteri

Dr Zaliha Mustafa berkata KKM kini lebih mengutamakan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dr Zaliha Mustafa berkata, etika pakaian jururawat hospital awam sudah ditetapkan dan jelas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mahu membesarkan isu pakaian jururawat hospital kerajaan yang didakwa ketat dan tidak mematuhi syariah kerana etika pakaian sudah ditetapkan serta jelas.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata KKM kini lebih mengutamakan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pakaian jururawat ada etika yang jelas. Pada saya, ia tiada masalah kerana paling penting kita memberi keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan projek bangunan baharu Makmal Patologi Hospital Sultanah Aminah, Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur di Segamat.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor, mempersoalkan etika pakaian jururawat wanita yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah.

Dalam perkembangan lain, Zaliha mengakui kelulusan Kertas Putih Kesihatan membuktikan tiada ketirisan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, termasuklah pembelian vaksin ketika pandemik Covid-19.

“Kes selesai, tidak berbangkit lagi (isu ketirisan pembelian vaksin).”

Katanya, KKM akan memaklumkan pencapaian dan aspirasi kesihatan awam kepada rakyat menerusi strategi komunikasi diwujudkan.

“Saya tahu rakyat ramai kurang maklum tentang perkara ini (Kertas Putih Kesihatan), tetapi paling penting ia sudah lulus dan kita akan sampaikan kepada rakyat supaya mereka faham dan tahu kepentingan kesihatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.