
Rafizi berkata, sistem itu dijangka beroperasi menjelang minggu ketiga Jun.
Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan disediakan hanya melibatkan projek berskala kecil seperti menangani longkang tersumbat di kawasan perumahan.
“Kami sedang merancang, selepas ini, peruntukan bagi projek awam boleh dipohon secara terus kepada Kementerian Ekonomi oleh sesiapa sahaja di Malaysia. Pejabat Daerah dan jabatan negeri juga boleh memohon secara terus dengan kita.
“Jadi, tak perlu lagi lapisan-lapisan semua ini. Langkah ini situasi menang-menang kepada semua,” katanya.
Ketika ini, Rafizi berkata, hanya wakil rakyat, pegawai daerah, dan pihak berkuasa tempatan sahaja boleh memohon peruntukan daripada kerajaan. Permohonan itu diuruskan unit perancang ekonomi (EPU), yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri.
“Namun, saya percaya kita perlu membuka proses ini kepada semua orang. Rakyat sering memohon kepada wakil rakyat supaya selesaikan masalah sedangkan wakil rakyat tidak mempunyai dana dan perlu memohon bagi pihak mereka. Jadi, proses sebelum ini berlapis-lapis,” katanya.
Rafizi berkata, pihak kementerian dalam proses persediaan akhir demi memastikan sistem berkenaan berjalan lancar.
Katanya, kementeriannya juga dipertanggungjawabkan melakukan perancangan ekonomi jangka panjang, yang sebelum ini diuruskan EPU.