
Dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, kementerian berkata kerajaan akan mengambil pendekatan proaktif bagi meningkatkan hasil, yang telah dilaksanakan bermula 2023.
Antara langkah-langkah itu melibatkan penjanaan hasil meliputi peluasan skop dan peningkatan kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan, serta pelaksanaan e-Invois, katanya.
Selain itu, bagi mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak dan gas, kerajaan terus memperkukuh pembaharuan fiskal jangka sederhana melalui peluasan asas hasil dan penambahbaikan kecekapan dalam perbelanjaan awam.
“Antara langkah utama termasuk pelaksanaan sistem e-Invois secara menyeluruh menjelang 2026 bagi menutup ketirisan hasil dan memperluas pematuhan cukai, pengenalan kepada Cukai Keuntungan Modal (CGT) ke atas pelupusan saham tidak tersenarai untuk menambah hasil bukan minyak.
“Kerajaan juga melaksanakan rasionalisasi subsidi tenaga secara bersasar dengan menggunakan pangkalan data PADU untuk memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak. Pendekatan ini sekali gus mewujudkan asas fiskal yang lebih mampan,” katanya.
Kementerian Ekonomi berkata kerajaan terus komited untuk mengurangkan kebergantungan pada hasil berkaitan petroleum susulan pendedahan risiko ketidaktentuan harga minyak mentah global yang mencatatkan peratusan tertinggi pada 41.3% daripada hasil 2009.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan menumpukan pada usaha memperkukuh kepelbagaian sumber pendapatan negara dan menjana sumber pertumbuhan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berimpak tinggi.
Kementerian Ekonomi menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang ingin tahu apakah strategi konkrit kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara pada hasil minyak dan gas, serta menjana sumber pertumbuhan baharu yang lebih mampan dalam tempoh RMK-13.