Mahkamah KL akan dengar kes pecah amanah RM145.5 juta pengerusi Maju Holdings

Mahkamah KL akan dengar kes pecah amanah RM145.5 juta pengerusi Maju Holdings

Abu Sahid Mohamed sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada September atas pertuduhan menyalah gunakan wang syarikat.

Tan Sri Abu Sahid Mohamed
Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd Abu Sahid Mohamed tiba di mahkamah dengan berkerusi roda.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini membenarkan satu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM145.5 juta terhadap Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd Abu Sahid Mohamed dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib supaya pertuduhan itu dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan CBT dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram yang sedang dibicarakan di mahkamah sama.

Pertuduhan CBT itu melibatkan RM313 juta manakala kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM139 juta. Kesemua 18 pertuduhan tersebut berkaitan projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II).

Tertuduh berusia 74 tahun itu yang tiba dengan kerusi roda, diwakili peguam Jasbeer Singh.

Abu Sahid pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 24 September atas kesalahan menyalahgunakan wang syarikat dengan memindahkan jumlah tersebut ke akaun eskrow milik Golden Base Construction Sdn Bhd. Dia mengaku tidak bersalah.

Hakim Nasir Nordin kemudiannya memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas Akram memaklumkan mahkamah bahawa Abu Sahid turut berdepan pertuduhan CBT dan pengubahan wang haram lain di sana.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, bekas pengarah Maju Holdings, Yap Wee Leong, akan berdepan sembilan pertuduhan pemalsuan dokumen berjumlah RM220.7 juta dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM388.3 juta, yang sebelum ini difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk perbicaraan bersama.

Keputusan itu dibuat selepas Rosli membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan pertuduhan ke Kuala Lumpur dan dibicarakan bersama 17 pertuduhan pemalsuan sedia ada melibatkan RM314.4 juta terhadap Yap.

Kedua-dua kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 8 Januari.

Peguam Abdul Hakeem Aiman mewakili Yap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.