Jho Low dipercayai ‘sembunyi’ di Macau, kata SPRM

Jho Low dipercayai ‘sembunyi’ di Macau, kata SPRM

Individu-individu lain yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB juga dipercayai kini berada di Macau, menurut agensi antirasuah itu.

Notis Merah Interpol bagi Jho Low dilulus dan dikeluarkan pada 2018, manakala menurut Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani tahun lepas, usaha menjejaki Low sedang berjalan. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, “bersembunyi” di Macau, menurut satu laporan.

Menurut Al Jazeera, SPRM percaya individu lain yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB juga kini berada di Macau.

“(Perkara ini) juga disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat Low di Macau,” kata agensi antirasuah itu.

Notis Merah Interpol bagi Low dilulus dan dikeluarkan pada 2018, manakala menurut Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani tahun lepas, usaha menjejaki Low sedang berjalan.

Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan menjadi dalang menyeleweng USD4.5 bilion dana 1MDB. Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

Sementara itu, Al Jazeera memetik sumber polis melaporkan, seorang suspek kes 1MDB dan SRC International, yang baru-baru ini ditangkap SPRM, telah diusir dari Macau kerana menetap melebihi tempoh visanya.

Suspek itu tidak dapat dijejaki sejak 2018 tetapi kembali ke Malaysia pada awal Mei. Setibanya di klia2, dia diserahkan notis untuk hadir ke ibu pejabat SPRM

Media melaporkan bahawa lelaki itu dikenal pasti sebagai Kee Kok Thiam, 51.

“Kertas siasatan, tertumpu kepada aset milik Kee di Singapura, telah siap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya,” lapornya, memetik seorang pegawai SPRM.

Sebelum ini, SPRM, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura, merampas akaun bank Wright Shaw Limited yang menyimpan kira-kira USD5.2 juta (RM23.1 juta).

Pada 23 Ogos tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes rasuah SRC.

Dalam keputusan majoriti 4-1 pada Mac, mahkamah tertinggi menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukumannya, bermakna dia akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020.

Dia juga didenda RM210 juta atau tambahan penjara lima tahun jika ingkar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.