‘Tak kira siapa calon, kita akan sokong,’ kata Pemuda kerajaan perpaduan

‘Tak kira siapa calon, kita akan sokong,’ kata Pemuda kerajaan perpaduan

Sayap pemuda mahu menjadikan Selangor sebagai contoh kepada negeri lain menerusi kerjasama erat dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Ketua Pemuda BN Selangor, Mohd Imran Tamrin (ves biru), Ketua Pemuda PKR Selangor, Izuan Kasim (kanan Imran) dan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al Rashid, (kiri Imran), pada Majlis Ramah Mesra Pemuda Perpaduan Selangor.
SHAH ALAM:
Sayap pemuda parti gabungan dalam kerajaan perpaduan di Selangor bertekad akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada siapa sahaja yang menjadi calon pada PRN akan datang.

Ketua Pemuda PKR Selangor, Izuan Kasim, berkata beliau mahu menjadikan Selangor sebagai contoh kepada negeri lain menerusi kerjasama erat antara pemuda dalam kerajaan perpaduan.

“Siapa pun dipilih bertanding di DUN Selangor, kita akan beri sokongan penuh tidak kira parti mana,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Pemuda Perpaduan Selangor.

Dalam majlis itu, kesemua sayap pemuda parti gabungan dalam kerajaan perpaduan di Selangor hadir pertama kali bagi mengenali antara satu sama lain.

Mereka terdiri sayap pemuda PKR, Amanah, DAP, Umno, MCA dan MIC hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah, Danial Al Rashid, berkata beliau akan memastikan pemuda Pakatan Harapan (PH) akan beri sokongan kepada mana-mana calon yang diwakili parti gabungan dalam kerajaan perpaduan.

“Siapa pun tanding, mana-mana tempat, pemuda PH akan bantu Barisan Nasional (BN). Kita juga harap pemuda BN akan bantu PH pada PRN nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda BN dan Umno Selangor, Mohd Imran Tamrin, berkata parti gabungan dalam kerajaan perpaduan perlu cari titik persamaan untuk memastikan kemenangan pada PRN nanti.

Beliau berkata, sayap pemuda gabungan kerajaan perpaduan perlu bergerak dan memulakan gerak kerja awal bagi memastikan kemenangan pada PRN terutama di Selangor.

“BN dan PH masing sudah ada pengalaman memerintah di Selangor seharusnya beri kelebihan untuk beri manfaat kepada rakyat khususnya di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.