Janji ‘TKM Cina’ tunjuk GRS yakin sokongan Bumiputera, KDM

Janji ‘TKM Cina’ tunjuk GRS yakin sokongan Bumiputera, KDM

Penganalisis berkata kebimbangan utama masyarakat Cina berkaitan pembangunan ekonomi, prospek pendidikan yang lebih baik, dan keadilan sosial.

Pada perhimpunan bersama masyarakat Cina, Isnin lalu, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata pentadbirannya akan mengiktiraf UEC, yang membolehkan pemegangnya memperoleh biasiswa negeri dan melanjutkan pengajian di universiti milik negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melantik timbalan ketua menteri berketurunan Cina sekiranya kembali berkuasa pada PRN akan datang turut mencerminkan keyakinannya meraih sokongan Bumiputera, menurut seorang penganalisis.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, berkata tawaran itu hanya munasabah seandainya GRS percaya akan mendapat sokongan daripada pengundi Kadazandusun-Murut (KDM) dan Bumiputera Islam — memandangkan ketiga-tiga timbalan ketua menteri sedia ada berasal daripada komuniti ini.

Katanya, secara konvensyen, jawatan timbalan ketua menteri III diperuntukkan kepada seorang wakil rakyat Cina, manakala dua jawatan pertama diberikan masing-masing kepada wakil komuniti KDM dan Bumiputera Islam.

Ketika ini, Jeffrey Kitingan daripada STAR dan Joachim Gunsalam daripada PBS — kedua-duanya dari komuniti KDM — masing-masing memegang jawatan timbalan ketua menteri I dan II, manakala timbalan ketua menteri III disandang Shahelmey Yahya daripada Umno.

Bilcher berkata, GRS juga tampak berjaya mengukuhkan sokongannya dalam kalangan pengundi Bumiputera Islam.

“Ketua Menteri Hajiji Noor dan GRS dilihat mendominasi sokongan Bumiputera Islam melalui Parti Gagasan Rakyat Sabah serta parti tempatan lain dalam gabungan itu.

“Dengan tidak menyentuh jawatan diperuntukkan kepada KDM, GRS mungkin ingin memberi isyarat kepada pengundi KDM bahawa pelantikan seorang timbalan ketua menteri Cina tidak akan menjejaskan kedudukan mereka, sekali gus membantu mengekalkan sokongan mereka,” katanya kepada FMT.

Kedua-dua Bilcher dan Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura percaya pengumuman Hajiji itu akan diterima baik masyarakat Cina.

Oh berkata, masyarakat itu akan lebih memberi tumpuan kepada rancangan GRS untuk membangunkan negeri.

“Perhatian pengundi pada masa kini mungkin lebih tertumpu kepada isu infrastruktur, seperti bekalan elektrik dan air bersih yang mencukupi, jalan raya yang baik serta mitigasi banjir. Saya rasa tumpuan ramai pengundi sekarang adalah ke arah itu,” kata Oh kepada FMT.

Beliau berkata, GRS berkemungkinan akan mengumumkan janji pilihan raya untuk komuniti KDM dan Bumiputera menjelang pilihan raya itu.

Pada Isnin, Hajiji berkata GRS akan melantik seorang wakil berketurunan Cina ke jawatan timbalan ketua menteri sekiranya terus kekal berkuasa dalam PRN17 akan datang.

Mengakui sumbangan masyarakat itu yang ‘signifikan’ khususnya dalam bidang ekonomi, ketua menteri berkata ramai pegawai kanan perkhidmatan awam di Sabah juga daripada keturunan Cina.

Lazimnya, seorang wakil rakyat Cina memegang jawatan timbalan ketua menteri III, namun tradisi berkenaan berakhir apabila GRS membentuk kerajaan negeri pada 2020 kerana tiada wakil daripada komuniti tersebut.

Bilcher berkata, janji GRS itu berkemungkinan memberi kesan positif kepada pengundi Cina, dengan syarat ia menangani kebimbangan utama masyarakat tersebut, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi, prospek pendidikan yang lebih baik, dan keadilan sosial.

Beliau juga berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) akan menjadi faktor penting bagi GRS, memandangkan sokongan kuat gabungan itu dalam kalangan pengundi Cina di kawasan bandar.

“Secara prinsipnya, ia adalah keputusan baik, sekali gus pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan masyarakat itu. Ia juga memperluas naratif mengenai Sabah yang inklusif.

“Sabah mempunyai sejarah politik yang lebih ‘terbuka’ dan berbilang etnik berbanding Semenanjung. Jadi, dengan adanya seorang timbalan ketua menteri Cina, ia mengukuhkan naratif ‘Sabah untuk semua rakyat Sabah’ serta menolak eksklusiviti politik.”

Namun, Bilcher berkata kerajaan negeri mesti melangkaui simbolik isyarat perpaduan semata-mata untuk membentuk dasar adil dan bermakna.

Pada Isnin, Hajiji turut mengumumkan kerajaan diterajui GRS akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah vernakular Cina, sekali gus membolehkan pemegangnya memperoleh biasiswa negeri dan melanjutkan pengajian di universiti milik negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.