Pastikan penduduk luar bandar dapat liputan 5G, kata TPM

Pastikan penduduk luar bandar dapat liputan 5G, kata TPM

Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu untuk memastikan penduduk luar bandar tidak terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G.

Zahid Hamidi berkata penduduk luar bandar terutama di kawasan Felda, Felcra dan Risda perlu diberi kesamarataan mendapat liputan 5G. (Gambar Bernama)
TAMPIN:
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan terus memastikan penduduk di luar bandar terutamanya kawasan Felda, Felcra dan Risda tidak terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G.

Beliau berkata, tanggungjawab berkenaan bukan sahaja hanya dipikul syarikat telekomunikasi semata-mata tetapi memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya lihat di sini ada menara..sistem telekomunikasi bertukar dari 3G ke 4G ke 5G, jadi saya sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan luar bandar dan desa, saya tidak mahu mereka terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi.

“Saya tidak mahu anak-anak kita terpaksa memanjat pokok untuk dapatkan liputan. Saya tidak mahu peneroka terpaksa pergi berdekatan menara (telekomunikasi) untuk dapatkan liputan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Negeri Sembilan.

Turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata masyarakat luar bandar wajib diberikan kesamarataan dalam mendapat liputan 5G biarpun ketika ini pemasangan 5G mencapai 64% di kawasan berpenduduk tinggi.

Zahid berkata, selain itu kerajaan juga akan memastikan isu perumahan generasi kedua Felda diatasi segera sekali gus membantu golongan berkenaan mendapatkan kediaman masing-masing.

“Isu perumahan generasi kedua Felda ini…di Felda Jelai 1,2,3 di sini (contohnya) saya tahu menteri besar (Aminuddin) membantu, tetapi keperluan mesti dibuat sekarang. Saya yakin masalah generasi kedua itu harus diatasi segera kerana mereka merupakan penyokong kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.