
Inisiatif nasional itu bertujuan melindungi pengguna daripada panggilan penipuan, penyamaran identiti dan penipuan yang sering berlaku melalui penggunaan nombor SIM yang tidak disahkan atau disalahgunakan.
Dengan sokongan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), langkah ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu pengesahan nombor prabayar sedia ada, pendaftaran kad SIM baru dan log masuk MyDigital ID ke aplikasi syarikat telekomunikasi .
Ketua Eksekutif Nacsa, Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata pelaksanaan setiap komponen mungkin berbeza mengikut penyedia perkhidmatan namun matlamatnya sama, iaitu memastikan penjenayah tidak lagi dapat menyeleweng kad SIM yang tidak disahkan sebagai laluan kegiatan jenayah.
“MyDigital ID memainkan peranan penting kerana proses pengesahan identiti merujuk terus kepada rekod rasmi kerajaan diselia Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Inisiatif yang membabitkan pelbagai pemegang taruh ini turut memperkukuh pelaksanaan Pelan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030 diterajui Nacsa bagi memastikan ekosistem siber negara kekal selamat dan berdaya tahan daripada ancaman semasa dan akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Megat Zuhairy turut merakamkan penghargaan kepada SKMM atas peranan penting menyelaras pelaksanaan inisiatif nasional itu bersama-sama semua syarikat telekomunikasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Nik Hisham Nik Ibrahim berkata nombor telefon mudah alih sering disalah guna untuk kegiatan jenayah seperti penipuan dan penipuan identiti, dengan laporan berita menunjukkan jumlah panggilan penipuan pada 2024 mencecah 2.98 juta, hampir dua kali ganda berbanding 1.63 juta pada 2023.
“Dengan menggunakan identiti digital yang sah, kita dapat mengurangkan risiko jenayah sebegini, memperkukuh kepercayaan digital dan meningkatkan keselamatan di samping mengurangkan ketirisan dalam ekonomi digital,” katanya.
Nik Hisham berkata MyDigital ID tidak menyimpan data pengguna, menjejak aktiviti dalam talian atau mengumpul maklumat baharu kerana peranannya hanya untuk mengesahkan identiti seseorang apabila memilih untuk log masuk ke sesuatu perkhidmatan.
“Kami sedar privasi dan keselamatan data kebimbangan utama pada masa kini. Ada yang bimbang identiti digital boleh digunakan untuk memantau, menjejak atau menyimpan maklumat peribadi. Hakikatnya MyDigital ID tidak berfungsi sebegitu.
“Pengesahan identiti dilakukan hanya dengan persetujuan dan kawalan penuh pengguna. Prinsip kami mudah, iaitu data anda milik anda sentiasa dan dengan MyDigital ID, ia kini lebih selamat berbanding sebelum ini,” katanya.
MyDigital ID merupakan platform identiti digital selamat dan dipercayai yang direka untuk mengukuhkan dan memudahkan pengesahan identiti dalam talian tanpa menggantikan sistem MyKad.
Ia berfungsi sebagai log masuk tunggal untuk perkhidmatan digital, menawarkan keselamatan dan kebolehcapaian lebih besar dalam mengakses perkhidmatan dalam talian dan melakukan transaksi.
Orang ramai dinasihatkan merujuk laman sesawang penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut penggunaan MyDigital ID.