
Mempertahankan reformasi berterusan pentaksiran sekolah, menteri pendidikan berkata, SPM kekal penting kerana ia berfungsi sebagai kelayakan akademik utama negara, terutama untuk pelajar melanjutkan pengajian.
Dalam episod audio siar Kerusi Biru, Fadhlina berkata, kementeriannya sedang berusaha mencapai keseimbangan antara pentaksiran berterusan dan standard peringkat kebangsaan, menyatakan kerajaan juga memilih untuk mengekalkan peperiksaan akhir tahun di sekolah.
Katanya, matlamatnya bukan untuk menghapuskan peperiksaan tetapi memastikan wujudnya sistem lebih adil, mengambil kira kepelbagaian keperluan pelajar.
Terdahulu, profesor Universiti UCSI Tajuddin Rasdi berkata, SPM tidak lagi relevan dalam landskap pendidikan hari ini, dengan laluan seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menawarkan jalan lebih praktikal untuk seseorang individu berjaya dalam pasaran kerja yang pelbagai.
Tajuddin juga berkata, universiti wajar membangunkan peperiksaan kemasukan mereka sendiri, yang disesuaikan untuk kursus tertentu dan tidak bergantung pada SPM, menambah ini akan menepati kekuatan dan aspirasi kerjaya pelajar.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, kerajaan telah mencapai kejayaan besar dari segi penempatan guru, dengan 98% jawatan diisi.
Katanya, ini merupakan pencapaian tertinggi bagi kerajaan semasa sejak ia mengambil alih tampuk pimpinan pada akhir November 2022.
Menurutnya, penyediaan pendidikan di kawasan luar bandar kekal menjadi salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya dan pendahulunya kerana lokasi terpencil selalunya sukar diakses.
“Apabila saya sampai ke kawasan-kawasan pedalaman, saya sering diberitahu saya menteri pertama yang sampai. Sampai itu satu perkara …ia mesti juga diteruskan dengan apa yang kita nak lakukan di situ,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya memperkenalkan model alternatif seperti sekolah di atas rumah bot bagi memastikan kanak-kanak di kawasan tersebut masih mendapat akses kepada pendidikan.
Katanya, kegagalan untuk berfikir di luar kotak akan menafikan peluang kanak-kanak menerima pendidikan.