Rehda sokong syarat hanya pemaju kukuh kewangan laksana projek PSB

Rehda sokong syarat hanya pemaju kukuh kewangan laksana projek PSB

Rehda berkata langkah itu penting bagi memastikan penduduk yakin kebajikan terjaga, sementara projek berkualiti siap ikut jadual.

ppr b40 miskin
Rehda minta cadangan tambah baik projek pembaharuan semula bandar (PSB) perlu diteliti dengan rapi oleh kerajaan dan pihak berkaitan bagi mengelak kesan tidak diingini.
PETALING JAYA:
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) menyifatkan cadangan mewajibkan hanya pemaju berwibawa dan kukuh kewangan melaksanakan projek pembangunan semula sebagai langkah penting untuk menjamin situasi menang-menang kepada semua pihak.

Presidennya Ho Hon Sang berkata langkah itu wajar diberi perhatian serius terutama dalam projek pembaharuan semula bandar (PSB) kerana melibatkan penduduk sedia ada yang terkesan secara langsung.

“Penduduk perlu yakin kebajikan mereka terjaga, dan pemilihan pemaju bereputasi baik akan memastikan projek berkualiti dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada FMT.

Pada 3 Oktober lalu, Konvensyen PSB anjuran Umno mengemukakan 14 cadangan bagi memperkukuh draf Rang Undang-undang (RUU) PSB yang dibentangkan sebelum ini.

Antara cadangan itu termasuk memastikan hanya pemaju benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenarkan melaksanakan projek, dengan penguatkuasaan ketat seperti bon pelaksanaan dan penalti lewat siap (LAD).

Konvensyen turut mencadangkan pampasan kepada pemilik rumah berdasarkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan serta kerugian pendapatan, bukan sekadar nilai pasaran semasa.

Ia juga mencadangkan nilai ambang persetujuan minimum 95% bagi bangunan berusia kurang 50 tahun dan 90% bagi yang lebih lama.

Ketua Pasukan Khas Umno bagi penambahbaikan RUU PSB, Johari Ghani, sebelum ini berkata draf asal mempunyai banyak kelompangan dan gagal memberi perlindungan menyeluruh kepada pemilik, malah berisiko menyingkirkan komuniti sedia ada.

Mengulas lanjut, Ho berkata sebarang cadangan penambahbaikan yang munasabah perlu diteliti dengan rapi oleh kerajaan dan pihak berkaitan bagi mengelak kesan tidak diingini.

“Apapun keputusan kerajaan mengenai akta PSB, kami yakin ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat. Kebajikan mereka harus menjadi keutamaan,” katanya.

Tambahnya, Rehda akan terus memberi input dari perspektif pemaju serta komited membina perumahan mampan, berkualiti dan mampu milik demi kemajuan rakyat dan negara.

RUU PSB 2025 yang dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama secara lebih terancang, adil dan inklusif.

Bagaimanapun, bacaan seterusnya dan pengundian ditangguhkan ke sidang Parlimen seterusnya bagi mendapatkan maklum balas lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.