
Menteri Rubin Balang berkata ketiga-tiga program itu dirangka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan akses kritikal kepada sumber tenaga, air bersih dan jaringan pengangkutan selamat.
“Fokus KPLB adalah meneruskan program-program meliputi pembangunan kemudahan asas, pengukuhan komuniti dan pentadbiran daerah yang kritikal selaras dengan peranan kritikal kementerian sebagai peneraju pembangunan luar bandar di negeri ini.
“Bagi mencapai hasrat ini, kementerian kekal komited untuk memastikan rakyat Sabah mendapat akses saksama kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi yang adil serta kualiti hidup lebih baik,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 bagi kementeriannya pada persidangan DUN Sabah.
Rubin berkata kerajaan Sabah memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan Belba dengan menumpukan mikro hidro elektrik dan sistem hibrid solar fasiliti bagi membekalkan elektrik berskala kecil kepada kawasan luar bandar di luar capaian grid utama.
Belba bukan sahaja memberikan bekalan elektrik stabil dan mesra alam bagi keperluan harian komuniti, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan keseluruhan rakyat luar bandar.
Pada tahun hadapan juga, KPLB memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan Balba dengan fokus utama kepada pembinaan sistem air sumber bawah tanah dan pembinaan baharu sistem air graviti.
“Ini penting untuk memenuhi keperluan air bersih di kawasan luar bandar yang berada di luar rangkaian paip Jabatan Air Negeri Sabah. Skopnya adalah untuk menyediakan bekalan air bersih di kawasan yang berdepan kekangan sumber dan belum mempunyai liputan paip terawat menyeluruh,” katanya.
Bagi JKLB pula, Rubin menjelaskan projek itu akan dilaksanakan dengan peruntukan RM2 juta bertujuan membina dan menaik taraf jambatan kecil di luar bandar yang sukar diakses terutama yang tidak dapat ditampung bawah perancangan agensi teknikal lain.
Skop projek itu merangkumi pembinaan jambatan gantung, jambatan laluan kenderaan (lima tan) serta lintasan paras rendah (low-level crossing) dengan sasaran utama ialah di daerah lebih kritikal sekali gus dijangka memberikan impak langsung terhadap mobiliti, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah James Ratib komited memperkukuh akses internet di kawasan luar bandar dan pedalaman selaras dengan usaha merapatkan jurang digital.
Beliau berkata cadangan penambahan pemasangan Starlink pada tahun depan akan diperluaskan dengan berdasarkan kriteria ‘Coverage Operational Area’ (COPA) seperti kawasan tersebut mempunyai perkhidmatan kemudahan asas seperti klinik, sekolah dan masjid.
“Kementerian Pendidikan Malaysia telah menaik taraf daripada Starlink kepada Fiber Optik. Dilaporkan bahawa pemasangan PoP 300 megabait sesaat oleh YTL telah siap dilaksanakan pada 1 Dis 2025,” katanya.
Persidangan DUN Sabah disambung esok.