Sanusi mohon maaf pada Mahfuz kerana fitnah

Sanusi mohon maaf pada Mahfuz kerana fitnah

Sanusi Md Nor menulis mahkamah memutuskan hantaran Facebooknya adalah kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar dan dia diperintahkan memohon maaf.

Sanusi Md Nor memohon maaf kepada Mahfuz Omar kerana memfitnah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
PETALING JAYA:
Pemimpin PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, memohon maaf secara terbuka kepada Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berhubung kenyataan menyentuh isu perpindahan premis judi, empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu berdasarkan penghakiman mahkamah, susulan saman fitnah oleh Mahfuz terhadap Sanusi, yang juga menteri besar Kedah.

Mahkamah Tinggi pada 2021 memerintahkan Sanusi menulis permohonan maaf kepada Mahfuz di Facebook, serta membayar rugi RM50,000 kepada Mahfuz berhubung kenyataannya itu.

Mahkamah Rayuan pada April lepas menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi itu, malah menaikkan kuantum kepada RM120,000.

“Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3 April 2023 memutuskan bahawa hantaran Facebook saya tersebut satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz,” katanya di Facebook.

“Saya diperintahkan untuk memohon maaf. Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz atas kenyataan yang dibuat di dalam hantaran Facebook tersebut.”

Pada 9 Okt 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan kenyataan Sanusi di akaun Facebooknya pada 30 Jul 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahkamah membenarkan saman fitnah Mahfuz, lalu mengenakan injunksi menegah Sanusi atau ejen-ejen beliau daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz pada masa depan, menurut peguam pemimpin Amanah itu, di samping permohonan maaf dan ganti rugi.

Sanusi dilaporkan sudah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk membayar saman fitnah terhadap Mahfuz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.