
Menteri komunikasi berkata, jumlah itu melibatkan 209,006 kandungan perjudian dari 2022 hingga 1 Feb lalu, menjadikan media sosial itu ‘lubuk’ iklan judi.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia melaksanakan pemantauan proaktif bagi memastikan persekitaran internet di negara ini bebas daripada kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang, termasuk kandungan perjudian dalam talian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, menurut Bernama.
Beliau berkata, 5,026 laman sesawang judi disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet bagi tempoh sama.
Katanya, SKMM di bawah bidang kuasa Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) komited memberikan kerjasama kepada polis dari segi penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal bagi mempercepatkan proses siasatan berkaitan kesalahan perjudian dalam talian.
Fahmi menjawab soalan asal Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai langkah kementerian membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan internet serta platform digital.
Bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari, Fahmi berkata SKMM telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi, bermula 1 Jan lalu.
Katanya, berkata langkah itu bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi bawah Akta 588 serta mengamalkan kod tatalaku (amalan terbaik) diterbitkan SKMM.
Menurutnya, ia seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian disediakan kepada pengguna.