
Dalam kenyataan pembukaannya, 1MDB dan tiga anak syarikatnya, yang menyaman Riza Aziz atas pelesapan dana itu, berkata hasil itu juga digunakan untuk membiayai filem terbitan Red Granite Pictures, dan membeli hartanah dan memorabilia filem.
Kenyataan yang difailkan oleh peguamcara, Shearn Delamore & Co, semalam bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai jumlah wang yang dibelanjakan untuk aktiviti perjudian itu.
1MDB dan anak syarikat iaitu 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, dan 1MDB Energy (Langat) Ltd memfailkan saman itu pada 2021.
Penyiasat Malaysia dan AS menganggarkan sejumlah USD4.5 bilion disedut daripada 1MDB selepas penubuhannya pada 2009, membabitkan ramai orang termasuk Najib, Low, kakitangan Goldman Sachs, dan pegawai peringkat tinggi di tempat lain.
Dalam saman ini, 1MDB berkata antara 2011 dan 2012, USD10 juta disalurkan kepada defendan — Riza, Red Granite Pictures Incorporated (RGP), dan Red Granite Capital Ltd (RGC) melalui Good Star yang dimiliki oleh Low melalui pelbagai langkah perantaraan.
Pada 2009, 1MDB mengumpul USD1 bilion tetapi USD700 juta pergi ke Good Star, yang dipercayai anak syarikat sebuah syarikat usaha sama (1MDB Petro Saudi Ltd).
Wang USD10 juta itu dihantar daripada Good Star, sebuah syarikat milik Low, kepada akaun operasi RGP yang penandatangannya ialah Riza.
Sejumlah USD238 juta lagi disedut pada 2012 apabila 1MDB melantik Goldman Sachs untuk mengatur dan underait dua bon berasingan berjumlah USD3 bilion yang diperoleh untuk memperoleh aset tenaga tertentu.
Kenyataan itu berkata selepas 1MDB dan/atau anak syarikatnya menerima hasil daripada bon itu, Low memperoleh dan menyebabkan 1MDB dan/atau anak syarikatnya menyedut sebahagian besar daripada hasil bersih ke akaun bank Switzerland milik entiti bernama Aabar Investments PJS Ltd.
Menurutnya, Low menubuhkan akaun di Bank BSI di Lugano, Switzerland atas nama sebuah syarikat rekaan, Aabar-BVI, dan mengatur pemindahan fraud wang sekitar USD1.367 bilion daripada 1MDB kepada Aabar-BVI.
Wang USD238 juta itu kemudian dihantar kepada Riza dan kedua-dua syarikat itu antara 18 Jun dan 14 Nov 2012.
Menurutnya, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan beri keterangan untuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai pihak-pihak, entiti berkaitan, dan individu yang terlibat seperti Low, fakta latar belakang yang penting, serta Fasa Good Star dan Fasa Aabar.
Katanya lagi, bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo, akan memberi pencerahan kepada mahkamah mengenai penyediaan dokumen berkaitan yang diperlukan untuk projek pelaburan dalam Fasa Aabar.
Menurutnya, Richard Templeman selaku penyelesai (liquidator) akan menjelaskan urus niaga monetari dalam Fasa Good Star dan Fasa Aabar serta pengesanan dana yang dilesapkan itu.
1MDB mendakwa Riza, yang mengawal dua syarikat Red Granite itu, yang menghasilkan filem The Wolf of Wall Street, tahu atau sepatutnya tahu bahawa dana itu telah dilesapkan dan digunakan untuk kepentingan mereka atau rakan mereka.
Oleh itu, plaintif mohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Riza serta syarikat-syarikat Red Granite boleh dipertanggungjawabkan atas dana yang dilesapkan daripada 1MDB.
Sebagai alternatif, plaintif menuntut pembayaran balik dana yang dilesapkan daripadanya atas alasan pengayaan yang tidak adil.