Pusat panggilan promosi judi diserbu, polis tahan 13 individu

Pusat panggilan promosi judi diserbu, polis tahan 13 individu

Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk 14 set komputer dalam serbuan di sebuah bangunan di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur semalam.

Antara 13 individu termasuk dua warga China yang ditahan dalam serbuan Op Dadu oleh IPK Kuala Lumpur bersama IPD Dang Wangi semalam.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menyerbu pusat panggilan dipercayai mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik premis pejabat di tingkat 23 sebuah bangunan di Jalan Kia Peng di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata dalam serbuan yang bermula pada 1 tengah hari itu, pihaknya menahan 13 individu masing-masing lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta dua lelaki warga China.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati premis itu berfungsi sebagai pusat panggilan judi dalam talian yang menyasarkan pasaran di Indonesia dan mengupah pekerja dengan bayaran antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Kelicikan sindiket itu berjaya dihidu pihak polis menerusi Op Dadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi.

“Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya 14 set komputer, dua komputer riba, dua kad akses, dua unit modem Wi-Fi, satu router dan satu mesin tandatangan kehadiran,” katanya kepada kepada Bernama.

Mohamed Usuf Jan berkata sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak awal April lepas dengan waktu operasi bermula dari 11 pagi hingga 8 malam setiap hari.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Permohonan reman akan dibuat hari ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.