
Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 26 tahun itu membuat laporan kira-kira 11 malam semalam mendakwa disamun oleh tiga lelaki bersenjata pisau.
Dia mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM20,400, katanya.
“Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Bentong telah menjalankan siasatan dan merakam percakapan suspek,” kata Zaiham dalam kenyataan.
“Namun, hasil siasatan serta rakaman litar tertutup di tempat kejadian mendapati suspek sebenarnya berjumpa dengan seorang lelaki dan menjual sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit serta seutas rantai leher untuk berjudi.”
Susulan itu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
Katanya, jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjarakan sehingga enam bulan atau didenda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.