
Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, dua lelaki dalam lingkungan 20-an itu ditahan secara berasingan di KM19 Jalan Kluang-Batu Pahat, depan Universiti Tun Hussein Onn dalam operasi mulai 1 pagi tadi.
Katanya, dua mat rempit itu menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya tanpa mempedulikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya tidak melanggar peraturan jalan raya, termasuk melakukan aksi berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan.
“Operasi seperti ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan samseng jalanan.
“Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan memantau pergerakan anak-anak, terutama pada waktu malam bagi mengelakkan mereka terjebak kegiatan tidak sihat ini,” katanya menurut Harian Metro.