Wanita ditahan ugut, khianat guna api

Wanita ditahan ugut, khianat guna api

Polis berkata pekarangan rumah dan kereta di garaj rumah pengadu terbakar, selain sekeping kertas berbaur ugutan ditemui di lokasi.

handcuff
Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata wanita tempatan berusia 46 tahun ditahan di Bandar Seri Alam, Masai pada 3 pagi semalam. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes khianat menggunakan api yang menyebabkan kebakaran sebuah rumah di Jalan Permai, Taman Sri Permai, Kluang.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 pagi kelmarin apabila pengadu terdengar bunyi seperti objek dibaling ke dalam kawasan rumah.

“Hasil pemeriksaan mendapati pekarangan rumah dan kereta diletakkan di garaj rumah terbakar. Sekeping kertas berbaur ugutan turut ditemui di lokasi kejadian,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar kemudian menahan seorang wanita di Bandar Seri Alam, Masai pada 3 pagi semalam.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 46 tahun itu tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga negatif dadah.

Katanya, suspek direman tujuh hari hingga 12 Sept ini untuk membantu siasatan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya yang meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang 07-7784222, 07-7784256, 07-7766822 atau Tablet DCC di talian 014-3656822.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.