
Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata kumpulan lelaki berusia 21 hingga 66 tahun yang ditahan itu daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, termasuk pesara dan anggota tentera, jurutera, juruteknik, fisioterapi, guru serta pekerja kilang.
Menurutnya, 406 unit senjata api tiruan dan aksesori dianggarkan melebihi RM100,000 dirampas, termasuk satu laras senapang berharga lebih RM6,000.
“Antaranya 65 laras senapang dan 32 pistol angin serta 130 kelopak peluru, 28 vest dan 35 aksesori lain, termasuk skop dan walkie-talkie,” katanya menurut Harian Metro di IPD Kuantan.
Beliau berkata, Ops Laras dilancarkan hasil risikan terhadap aktiviti di tanah rizab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang belum dibangunkan dengan kerjasama unit khas TLDM.
Katanya, 41 lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit sah.
“Walaupun air soft gun dianggap ‘senjata permainan’, ia tetap dikategorikan senjata api tiruan mengikut undang-undang negara ini.”