Menantu Hadi ditahan bantu siasatan penjawat awam diserang

Menantu Hadi ditahan bantu siasatan penjawat awam diserang

Siasatan itu berkaitan penggunaan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya.

Zaharudin Muhammad
PAS Selangor berkata Ketua PAS Sungai Buloh Zaharuddin Muhammad ditahan di rumahnya kira-kira 1.30 pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad ditahan bagi membantu siasatan berhubung serangan terhadap seorang penjawat awam dalam kekecohan di Kampung Sungai Baru.

Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penahanan Zaharuddin yang juga menantu Presiden PAS, Hadi Awang.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186, 324 dan 353 Kanun Keseksaan.

Seksyen 186 berkaitan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya, manakala Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela menggunakan senjata berbahaya.

Seksyen 353 pula berkaitan penggunaan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurut PAS Selangor, Zaharuddin ditahan di rumahnya kira-kira 1.30 pagi tadi kerana bersuara lantang berhubung pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru.

Kekecohan tercetus di Kampung Sungai Baru Khamis lalu ketika operasi pengosongan 37 rumah teres, dengan 14 pemilik rumah enggan mengosongkan kediaman mereka.

Ketika sekumpulan individu mengadakan bantahan, kepala Sulizmie terkena objek dilemparkan seorang penunjuk perasaan.

Sebelas individu, termasuk Zaharuddin ditahan berhubung kejadian itu.

Polis dilaporkan berkata, tujuh suspek ditahan itu bukan penduduk, sebaliknya pemimpin dan ahli sebuah “organisasi”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.