
PETALING JAYA: Polis menahan pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali Chegubard malam tadi kerana didakwa membuat ucapan berunsur hasutan dan dakwaan tidak berasas berhubung institusi diraja dalam satu ceramah politik di Bagan Serai 1 Sept lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada 10.25 malam tadi dan polis akan memohon perintah reman hari ini.
Katanya, polis mengesan satu hantaran di TikTok memaparkan Badrul sedang menyampaikan ucapan berunsur hasutan.
“Kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.