Pengguna Twitter ditangkap dalam siasatan kes kenyataan bersifat provokasi, hasutan

Pengguna Twitter ditangkap dalam siasatan kes kenyataan bersifat provokasi, hasutan

Seorang lelaki berusia 33 tahun ditangkap di Bagai Serai, Perak dalam siasatan ke atas kenyataan yang dikatakan berunsur perkauman dan hasutan.

Polis berkata lelaki berusia 33 tahun itu disyaki memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
PETALING JAYA:
Seorang pengguna Twitter ditangkap polis di Bagan Serai, Perak semalam dalam siasatan ke atas kenyataan yang dikatakan berunsur perkauman dan hasutan.

Menurut kenyataan polis, lelaki berusia 33 tahun itu disyaki memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain

Ia juga disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan tempoh tahanan reman dibenarkan selama tiga hari iaitu bermula pada 9 hingga 11 Mei,” kata Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping simkad milik suspek.”

Polis menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan, mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja, dan seumpamanya yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menjejaskan perpaduan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.