SKMM, syarikat telco akan bincang isu 5G, kata Fahmi

SKMM, syarikat telco akan bincang isu 5G, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada Isnin ini.

Jemaah Menteri sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan rangkaian 5G di bawah rangkaian tunggal melalui Digital Nasional Berhad (DNB) hingga mencapai 80% kawasan berpenduduk sehingga akhir tahun ini.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi akan bermesyuarat pada Isnin susulan keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan rangkaian 5G di bawah rangkaian tunggal melalui Digital Nasional Berhad (DNB) hingga mencapai 80% kawasan berpenduduk sehingga akhir tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau akan menjelaskan keputusan kerajaan untuk beralih kepada model dwirangkaian melibatkan beberapa entiti disertai syarikat telekomunikasi bagi menjalin kerjasama membina menara telekomunikasi yang mencukupi dalam usaha memastikan wujud aspek kelewahan atau lebih daripada satu rangkaian selepas sasaran liputan 5G di bawah rangkaian tunggal itu dicapai.

“Ini bagi memastikan jika ada masalah berlaku pada satu-satu rangkaian (telekomunikasi), masih ada sokongan,” katanya kepada pemberita pada majlis Raya Influencer 2023 di Muzium Telekom.

Beliau berkata perancangan itu diharap akan menjadi situasi menang-menang dengan hak rakyat diutamakan dan pada masa sama, isu monopoli diselesaikan.

Mengenai isu liputan 4G, Fahmi berkata biarpun capaian dikatakan sudah mencapai 96.92% namun realitinya tidak demikian kerana angka itu cuma agregat atau komposit peratusan capaian semua syarikat telekomunikasi.

Beliau berkata ini menyebabkan pengguna sering terpaksa menggunakan dua kad sim atau lebih daripada satu syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

“Apabila balik kampung contohnya, tidak ada liputan syarikat telekomunikasi A dan pengguna terpaksa berbelanja lebih untuk syarikat telekomunikasi B.

“Saya telah mengeluarkan arahan supaya perkara ini diselesaikan bermula bulan Jun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.