9 terima emel peras ugut, tangkap layar serupa

9 terima emel peras ugut, tangkap layar serupa

Sebelum ini, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli percaya ia percubaan untuk menggodam peranti.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kata SKMM dan polis diarah mengesan dan menjejak pihak di sebalik e-mel peras ugut wakil rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan sembilan wakil rakyat menerima e-mel memeras ugut USD100,000.

Fahmi antara wakil rakyat yang menjadi sasaran, selain bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dan Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari; Najwan Halimi dan Fahmi Ngah masing-masing exco Selangor; Adun Kulim Wong Chia Zen dan Senator Manolan Mohamad.

Semalam, Rafizi yang pertama sekali mendedahkan pemerasan ini berkata e-mel diterimanya mengandungi kod QR, dan percaya ia percubaan untuk menggodam peranti.

“Kerajaan memandang serius insiden ini. Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan polis bagi mengesan dan menjejak penjenayah terbabit melalui aplikasi Gmail,” kata Fahmi dalam kenyataan.

“Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat.

Fahmi juga memaklumkan semakan mendapati e-mel berkenaan menggunakan ayat yang hampir sama beserta tangkap layar serupa, dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama.

Rafizi menerangkan e-mel diterimanya memeras ugut USD100,000 untuk tidak sebar suatu ‘video lucah’, didakwa memaparkan penerima dengan seorang lelaki. Ia turut melampirkan tangkap layar meletakkan muka penerima pada suatu video kabur.

Rafizi juga memaklumkan Wong Chen dituduh tidur dengan lelaki sama.

Sementara itu, media turut melaporkan bahawa Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin turut menerima e-mel peras ugut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.