SKMM bantu siasatan ugutan terhadap Ahli Parlimen PKR

SKMM bantu siasatan ugutan terhadap Ahli Parlimen PKR

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata siasatan diketuai polis dengan SKMM bertindak sebagai agensi teknikal.

Kes ugutan video lucah disunting guna AI kini di bawah siasatan polis dengan SKMM sebagai agensi teknikal. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membantu polis menyiasat kandungan lucah berunsur teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dihantar melalui e-mel kepada tiga Ahli Parlimen PKR bagi ugutan wang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Tiga Ahli Parlimen itu ialah Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang) dan Dr Taufiq Johari (Sungai Petani). Mereka mendakwa menerima e-mel daripada pengirim tidak dikenali yang menuntut bayaran USD100,000 bagi mengelak video terbabit disebarkan.

Bercakap kepada media di sini, Fahmi berkata kes itu kini di bawah siasatan polis.

“SKMM akan bantu sebagai agensi teknikal, tetapi polis adalah agensi utama. Saya tiada maklumat lanjut setakat ini,” katanya.

Wong Chen semalam memberitahu FMT beliau membuat laporan polis sebaik menerima e-mel berkenaan.

Sementara itu, Rafizi berkata e-mel diterimanya mengandungi tangkap layar kabur video dan kod QR untuk pindahan wang.

Beliau mendakwa imejnya telah disunting ke dalam video tersebut, malah percaya tujuan utama emel itu mungkin untuk menggodam peranti elektroniknya kerana sebelum ini beliau berdepan beberapa cubaan penggodaman.

Taufiq pula dalam kenyataan pagi ini mengesahkan menerima e-mel serupa pada Jumaat lalu.

Fahmi jumpa Meta isu iklan judi dalam talian

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan bertemu wakil Meta pada 22 Sept bagi membincangkan isu lesen serta lambakan iklan judi dalam talian di Facebook.

Menurutnya, kebanyakan kandungan dipadam setakat ini berkait promosi judi, namun masih mudah diakses.

“Aduan kita konsisten: jika iklan judi dibayar dengan kad kredit, akaun yang membeli iklan itu juga patut disekat. Tetapi Facebook enggan melakukannya,” katanya.

Fahmi menegaskan kerajaan memilih untuk terus berbincang dengan Meta berbanding mengambil tindakan keras.

“Kita tidak berniat sekat atau tutup mereka. Ramai yang dapat manfaat ekonomi dan sosial daripada platform ini, tetapi kita tidak akan benarkan penjenayah menyalahgunakannya untuk keuntungan, ganggu keharmonian, atau lakukan jenayah siber,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.