Kompaun RM100,000 terhadap Sin Chew, Sinar cubaan ‘buli’ media, kata PAS

Kompaun RM100,000 terhadap Sin Chew, Sinar cubaan ‘buli’ media, kata PAS

Langkah itu seolah-olah tekan media supaya akur kepada garis atau tekanan politik tertentu, serta kemahuan kerajaan, kata Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, tindakan dalaman oleh MMM sebagai badan kawal selia industri media negara juga memadai, tanpa perlunya campur tangan luar.
PETALING JAYA:
PAS menyifatkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan kompaun RM100,000 masing-masing terhadap akhbar Sin Chew Daily dan Sinar Harian sebagai keterlaluan, kelihatan seperti cubaan ‘membuli’ media.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, langkah sedemikian, yang seolah-olah menekan media supaya ‘akur kepada garis atau tekanan politik tertentu serta kemahuan kerajaan’ berpotensi menghakis peranan bebas media sebagai tonggak keempat demokrasi dan saluran maklumat rakyat.

“Langkah kedua-dua media ini menarik segera laporan yang tersilap, membetulkannya dan meminta maaf secara terbuka sebaik sahaja ia disedari adalah memadai sesuai dengan kedudukan, jasa dan usia mereka.

“… Dalam dunia penerbitan, langkah-langkah tersebut sudah merupakan satu ‘hukuman’ kerana kesannya ke atas integriti dan kewibawaan media terbabit di mata pembaca,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin menegaskan, sebagai organisasi media veteran, Sin Chew dan Sinar harus diyakini untuk bertindak sesuai dengan kedudukan masing-masing, ‘tanpa perlu dilayan dengan cara yang sangat tidak wajar’.

“Hanya kesalahan sama yang berulang-ulang boleh dianggap sebagai kesalahan serius yang mewajarkan tindakan keras ke tahap langkah yang diambil oleh SKMM ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tindakan dalaman oleh Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai badan kawal selia industri media negara juga memadai bagi memastikan standard etika kewartawanan, tanggungjawab, integriti dan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemain industri, tanpa campur tangan luar.

“Peranan MMM sebagai tribunal bagi menerima dan menyiasat aduan mengenai media dan laporannya hendaklah dihormati, malah diperkukuhkan tanpa campur tangan terus pihak luar sebelum proses dalaman itu berjalan sempurna.

“Tindakan sebaliknya akan hanya menafikan status, peranan dan tujuan MMM ditubuhkan, sekali gus menjadikannya sia-sia,” katanya.

Terdahulu, SKMM memaklumkan pihaknya mengenakan kompaun RM100,000 terhadap kedua-dua syarikat akhbar berkenaan susulan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap, serta kesilapan dalam infografik berkaitan ketua polis negara yang baharu.

Susulan itu, Majlis Media Malaysia (MMM) berkata, denda berat sedemikian berisiko membangkitkan suasana yang dipenuhi ketakutan dan membawa kepada amalan penapisan kendiri melampau dalam kalangan wartawan dan editor.

MMM menegaskan, pihaknya mengiktiraf mandat SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan keseimbangan dan keadilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.