
Badan itu berkata, walaupun pihaknya mengiktiraf kepentingan ketepatan dan keperluan menghormati simbol kebangsaan, hukuman dikenakan itu tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa.
“Denda yang terlalu berat sebegini berisiko membangkitkan suasana yang dipenuhi ketakutan dan membawa kepada amalan penapisan kendiri melampau dalam kalangan wartawan dan editor,” katanya dalam kenyataan.
“… Perkara ini akhirnya akan membawa kepada keadaan yang melemahkan peranan media untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan untuk memastikan golongan berkuasa terus bertanggungjawab.
MMM menegaskan, pihaknya mengiktiraf mandat SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan keseimbangan dan keadilan.
“Kesilapan sepatutnya disusuli dengan langkah pembetulan dan bukannya hukuman berat yang menggugat kemampanan balai berita,” katanya.
Terdahulu SKMM memaklumkan kompaun RM100,000 terhadap dua syarikat akhbar itu berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap serta kesilapan dalam infografik berkaitan ketua polis negara yang baharu .
Tindakan terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd itu dibuat selepas mendapat izin kompaun daripada Jabatan Peguam Negara.