Ahli Parlimen Sungai Petani diugut USD100,000 dengan video lucah AI

Ahli Parlimen Sungai Petani diugut USD100,000 dengan video lucah AI

Dr Taufiq Johari jadi wakil rakyat kedua diugut dengan taktik itu selepas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Taufiq Johari
Dr Taufiq Johari bidas penggunaan teknologi kecerdasan buatan untuk menjatuhkan maruah individu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari mendedahkan beliau diugut menerusi e-mel mengandungi video lucah palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajahnya.

Menurut Taufiq, video berkenaan jelas disunting dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan integritinya sebagai wakil rakyat.

“Pada 12 Sept lalu, saya menerima emel daripada akaun yang dikenali. Emel itu mengandungi video lucah yang memaparkan gambar saya, namun ia disunting menggunakan teknologi AI.

“Dalam e-mel itu juga, saya diugut untuk membayar USD100,000 bagi mengelakkan video itu disebarkan,” kata wakil rakyat PKR itu dalam kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli turut mendedahkan beliau menjadi sasaran cubaan pemerasan melalui video lucah palsu dihasilkan menggunakan AI, dengan tuntutan bayaran mencecah USD100,000.

Taufiq menegaskan tindakan itu bukan sahaja satu cubaan memeras ugut, malah jenayah siber serius yang menggunakan teknologi moden bagi menyebarkan fitnah dan pornografi palsu.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan segera dijalankan terhadap penyalahgunaan teknologi AI dalam cubaan memfitnah dirinya.

Beliau juga berhasrat membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat meneliti punca serta dalang di sebalik e-mel berkenaan.

“Saya menyeru orang ramai lebih berwaspada dengan sebarang bentuk ugutan atau penipuan melalui internet.

“Penyebaran kandungan palsu sebegini bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah individu, malah mengancam keselamatan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.