Gambar peribadi dipapar dalam video lucah, polis siasat laporan wanita

Gambar peribadi dipapar dalam video lucah, polis siasat laporan wanita

Mangsa mendakwa gambarnya sekeluarga di Facebook digunakan oleh seorang pengguna Twitter dalam beberapa video lucah sejak Disember lalu.

Wanita itu mendakwa aksi lucah pelaku menggunakan gambarnya termasuk ahli keluarga sebagai gambar latar belakang.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan menerima laporan seorang wanita dari Kemaman yang mendakwa gambar dirinya dan ahli keluarga disalah guna serta dimuat naik dalam beberapa video lucah yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chukai, Selasa lalu.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan Seksual Atas Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagaimanapun, setakat ini identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya menurut Bernama.

Semalam, media melaporkan mangsa yang dipercayai seorang guru mendakwa gambarnya sekeluarga di Facebook peribadinya dimuat naik dalam beberapa video lucah oleh seorang pengguna Twitter, sejak Disember lalu.

Video itu memaparkan aksi lucah pelaku dengan menggunakan gambar mangsa termasuk ahli keluarganya iaitu anak perempuannya yang berpakaian seragam sekolah, kakak ipar, dan anak saudara perempuannya sebagai gambar latar belakang.

Mangsa turut mendakwa terdapat ramai lagi kanak-kanak dan wanita lain yang merupakan kenalannya di sekitar Kemaman yang turut menjadi mangsa tindakan tidak bermoral suspek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.