Tambah subsidi kepada pesawah tangani kesan perubahan iklim, kata aktivis

Tambah subsidi kepada pesawah tangani kesan perubahan iklim, kata aktivis

Abdul Rashid Yob berkata gelombang panas menyebabkan pesawah terpaksa menangguhkan tanaman semula padi.

Kumpulan pesawah berkata, gelombang panas mengakibatkan waktu bekerja terpaksa disingkatkan, sekali gus mengganggu jadual tuaian.
KUALA LUMPUR:
Subsidi kerajaan kepada pesawah padi perlu ditingkatkan memandangkan kos pengeluaran melambung kesan perubahan iklim, kata kumpulan pesawah.

Aktivis Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob, berkata gelombang panas ketika ini menyebabkan pesawah menangguhkan tanaman padi bagi tuaian seterusnya.

“Jam pekerjaan juga terpaksa dipendekkan, sekali gus mengganggu jadual tuaian,” katanya dalam perarakan sempena Hari Buruh.

Harga baja juga sudah meningkat sejak beberapa tahun lalu, justeri menambah kos pengeluaran pesawah padi, katanya.

Rashid berkata, subsidi beras membolehkan pesawah membantu kerajaan mengawal harga siling makanan ruji itu.

Katanya, beras kekal berpatutan walaupun pesawah berdepan kesukaran mengekalkan pengeluaran bahan makanan berkenaan.

Pertubuhan disertai Rashid itu dianggotai 3,000 pesawah di Semenanjung dengan objektif meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pesawah padi.

Pada belanjawan tahun ini, kerajaan pusat memperuntukan RM1.6 bilion kepada pesawah padi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.