
Katanya, memandangkan sektor ekonomi Sarawak dijangka meningkat, adalah penting bagi kerajaan mencari jalan membantu sektor swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Masalahnya adalah mereka tidak dapat pinjaman kewangan walaupun projek bagus.
“Oleh itu, saya sedang berusaha mungkin dalam tahun ini atau akhir tahun (bagi membolehkan) Sarawak mempunyai bank komersialnya sendiri,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya di Gedong, kira-kira 90km dari Kuching.
Abang Johari berkata, setakat ini cadangan penubuhan tersebut masih di peringkat perbincangan dan beliau akan berusaha untuk merealisasikan perkara itu.
“Saya tidak dapat nak umumkan lagi (perinciannya)…kena bincang dahulu dengan majoriti (pihak yang berkaitan). Saya yakin (bank) ini akan menjadi pemangkin kepada industri kecil dan sederhana,” katanya.
Selasa lalu, Abang Johari dilaporkan berkata, sebuah institusi kewangan akan diwujudkan di Sarawak bagi membantu usahawan kecil dan sederhana menceburi ekonomi baharu.
Katanya, butiran lanjut mengenai institusi itu akan diumumkan dalam tempoh dua bulan akan datang.